Tular gambar sulit pertemuan 4 Adun Melaka dengan Anwar, ini penjelasan Idris Haron

Tular gambar sulit pertemuan 4 Adun Melaka dengan Anwar, ini penjelasan Idris Haron

SELEPAS dipecat daripada UMNO, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron semalam mendakwa telah menerima tawaran daripada dua presiden parti politik.

Hari ini tular pula gambar empat bekas ADUN yang menarik sokongan terhadap Datuk Seri Sulaiman Md. Ali sebagai Ketua Menteri telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), baru-baru ini.

Memetik laporan BH Online, Idris mengesahkan pertemuan dengan Presiden PKR itu memang berlaku, namun hanyalah pertemuan biasa untuk berkenalan sahaja.

Selain Idris, bekas ADUN lain yang turut kelihatan dalam gambar tersebut adalah bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan; Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu).

Menurut Idris, beliau tidak membincangkan mengenai tawaran menyertai PKR dengan Anwar.

“Itu adalah pertemuan biasa PH untuk memperkenalkan empat ADUN yang sudah merubah kerajaan. (Kami) minum malam, itu saja.

“Pertemuan itu tidak membincangkan hal mengenai tawaran menyertai PKR tetapi lebih kepada sesi perkenalan dan berbicara hal ehwal politik semasa,” katanya seperti dilaporkan BH Online, hari ini.

Baca artikel berkaitan: Selepas tikam UMNO, Idris Haron mendakwa dia masih ahli parti

Turut hadir pada pertemuan dipercayai diadakan di sebuah hotel di Kota Laksamana, Melaka, dua hari lalu itu ialah Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari.

Tambah Idris, Anwar turut menasihati semua empat ADUN terbabit untuk kekal bersabar dan menyerahkan segala-galanya kepada mahkamah dalam perjumpaan tersebut.

Kata beliau, Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menyatakan perjuangan yang dilakukan itu lebih kepada usaha menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran selain memperjuangkan keadilan sejagat.

“Saya memang pegang kepada prinsip itu bahkan ketika dalam UMNO pun saya berpegang kepada prinsip kesaksamaan sejagat. Prinsip itu sama, cuma mungkin kaedah metodologi itu lain sikit,” jelas beliau.

Semalam, Idris mendakwa telah dihubungi dua presiden parti politik yang menawarkan tempat kepadanya, namun enggan mendedahkan parti tersebut.

“Ada tiga atau empat parti hubungi saya bila tersebar berita saya dipecat. Pada masa sama, dua presiden parti telah hubungi saya.

“Apa yang berlaku ini, satu pintu tertutup, banyak lagi yang terbuka,” katanya dalam sidang akhbar.

sumber : https://utusantv.com/2021/10/07/idris-sahkan-jumpa-anwar-hanya-minum-malam-sahaja/

COMMENTS