SUK Melaka akan saman Idris Haron kerana langgar sumpah simpan rahsia

SUK Melaka akan saman Idris Haron kerana langgar sumpah simpan rahsia

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Melaka, Kamel Mohamad, mengingatkan Idris Haron akan ikatan sumpah kerahsiaan kerajaan selepas bekas Adun Sungai Udang itu mengeluarkan kenyataan mengkritik pentadbiran negeri tersebut.

Kata Kamel, setiap anggota exco kerajaan Melaka sudah mengangkat sumpah untuk “tidak memberitahu atau tidak menzahirkan kepada sesiapa pun sama ada secara langsung atau secara tidak langsung” sebarang hal yang dibawa untuk pertimbangan kerajaan negeri.

“Dalam hubungan ini kerajaan Melaka sedang meneliti sama ada terdapat pelanggaran ke atas sumpah kerahsiaan tersebut.

“Sekiranya terdapat pelanggaran, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan dari segi undang-undang (ke atas Idris),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Idrus merupakan ketua menteri ke-10 Melaka yang dilantik menjadi exco kerajaan negeri selepas BN dan Perikatan Nasional (BN) menjatuhkan Pakatan Harapan (PH) pada awal Mac tahun lalu.

Dengan pembentukan kerajaan BN-PN itu, Adun Lendu Sulaiman Md Ali dilantik menjadi ketua menteri ke-12 bagi menggantikan Adly Zahari.

Bagaimanapun kerajaan Sulaiman jatuh apabila Idris bersama tiga Adun lain menarik balik sokongan mereka kepada Sulaiman. Ia kemudian membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Utamakan kepentingan semua rakyat

Pembubaran itu diumumkan Speaker DUN merangkap Pengerusi Umno Melaka, Ab Rauf Yusoh.

Melaka kini ditadbir oleh kerajaan sementara (caretaker) sehingga pilihan raya negeri diadakan. Kerajaan sementara itu masih diterajui Sulaiman.

Melalui beberapa sidang media diadakan, Idris mengulas beberapa isu pentadbiran kerajaan di bawah Sulaiman, khususnya berkaitan perjalanan dan keputusan mesyuarat exco.

Idris membayangkan wujud pihak lain yang mempengaruhi perjalanan kerajaan negeri.

Kata Kamel, kerajaan Melaka menafikan wujud campur tangan pihak ketiga dalam sebarang urusan dan keputusan dibuat exco negeri, sebaliknya ia diputuskan secara bersama.

Katanya tidak benar segala keputusan kerajaan negeri perlu dirujuk terlebih dulu kepada pihak ketiga sama ada sebelum, semasa dan selepas mesyuarat.

“Merujuk kepada dakwaan khusus bahawa terdapat campur tangan Pengerusi Umno Melaka dan dakwaan bahawa keputusan exco perlu dirujuk kepada pihak ketiga sebelum dilaksanakan, kerajaan Melaka menafikan dakwaan tersebut.

“Kerajaan Melaka juga memandang serius tohmahan mantan Adun Sungai Udang bahawa exco mengamalkan dasar terpilih yang memihak kepada satu-satu kaum semasa membuat keputusan.

“Sebaliknya, kerajaan negeri sentiasa mengutamakan kepentingan semua rakyat Melaka tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.

sumber : https://www.malaysiakini.com/news/595157

COMMENTS