Petani ditahan kerana ceroboh hutan tanam ketum di Gua Musang

Petani ditahan kerana ceroboh hutan tanam ketum di Gua Musang

Tiga lelaki ditahan Jabatan Perhutanan Kelantan kerana disyaki menceroboh hutan simpan dan menjadikan kawasan itu sebagai ‘ladang ketum’ sejak dua tahun lalu di Hutan Simpan Kekal Sungai Terah, Gua Musang.

Pengarah Perhutanan Kelantan, Abdul Khalim Abu Samah, berkata kesemua suspek berusia 25 hingga 33 tahun itu ditahan di sebuah rumah usang jam 10 pagi semalam, susulan maklumat awam dan risikan yang dibuat jabatan berkenaan dengan dibantu pasukan operasi bersepadu khazanah.

Katanya, sebaik tiba di lokasi itu pihaknya mendapati terdapat dua suspek berada di rumah usang sedang tidur dan disyaki khayal dadah selain terdapat sebuah motosikal.

“Kita juga menjumpai selaras senapang buatan sendiri dan tiga butir peluru hidup. Siasatan mendapati, suspek menjalankan aktiviti dilarang iaitu menceroboh hutan dengan tujuan penanaman ratusan pokok ketum selain pokok durian dan getah.

“Suspek juga berada dalam hutan simpan kekal tanpa sebarang kebenaran sah daripada Jabatan Perhutanan Kelantan,” katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Mengulas lanjut Abdul Khalim berkata, sebaik pemeriksaan selesai di lokasi, tiba-tiba seorang lelaki menunggang motosikal datang ke lokasi berkenaan sebelum ditahan.

“Suspek mendakwa memasuki kawasan berkenaan untuk mencari dua lagi suspek yang sudah ditahan. Ketiga-tiga suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Gua Musang, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 47(1) dan 81(1) Akta Perhutanan Negara 1984,”katanya.

Tambahnya, kawasan yang diceroboh itu membabitkan lebih sehektar tanah.

Sementara itu, Abdul Khalim juga berkata kawasan itu turut ditanam dengan pokok getah, durian dan pisang tetapi hasil pemeriksaan mendapati terdapat lebih banyak pokok ketum berbanding tanaman lain.

“Kita percaya kesemua hasil tanaman ketum ini akan dijual kepada pihak lain termasuk kemungkinan ke negara jiran kerana harganya mencecah RM100 bagi sekilogram,” katanya.

Berita Penuh : https://www.malaysiakini.com/news/562608

COMMENTS