Pak Guard sekolah didakwa “sentuh” budak perempuan di Kota Bharu

Pak Guard sekolah didakwa “sentuh” budak perempuan di Kota Bharu

Seorang pengawal keselamatan sekolah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak dengan menyentuh bahu seorang pelajar perempuan, Isnin lalu.

Muhammad Afiq Mohamed Zahari, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dengan maksud seksual, iaitu menyentuh kedua-dua bahu pelajar berusia 13 tahun terbabit dari belakang menggunakan tangannya, dalam kawasan sekolah, dekat sini, jam 5.14 petang 25 Januari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Faizudin Sulaiman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan, namun tertuduh memohon dibenarkan ikat jamin kerana ada isteri dan seorang anak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga menetapkan syarat tambahan, iaitu tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa serta perlu melapor diri di balai polis berdekatan, setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 1 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Berita Penuh : https://www.bharian.com.my/berita/kes/2021/01/780749/pengawal-keselamatan-sekolah-didakwa-sentuh-bahu-pelajar-perempuan

COMMENTS