Kedai makan di Kelantan bakal tutup akibat PKP

Kedai makan di Kelantan bakal tutup akibat PKP

Dianggarkan hampir 3,000 pengusaha restoran dan kedai makan seluruh Kelantan berdepan penutupan premis perniagaan sekiranya kerajaan tidak melakukan sesuatu bagi mengurangkan beban mereka.

Perkara ini didedahkan oleh wakil pengusaha restoran, Hassan Mohd Zain yang memaklumkan perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 kali ini dengan peraturan tidak boleh makan di restoran menyebabkan perniagaan mereka merosot hampir 90 peratus.

“Bila tak dibenar dine in, kita punya sales drop hampir 90 peratus. Pekerja kita banyak kena bagi cuti pasal kalau kita ada 15 pekerja, kita hanya guna tiga orang.

“Kalau keadaan ini tak dibantu, kita tokey pun lemas… kekangan sewa bil air, letrik dan komitmen kita dengan insurans, bank.

“Kami peniaga hampir separuh dah tutup kedai. Kalau berterusan lagi dua minggu, ramai lagi akan tutup kedai,” kata Hassan.

Pandangan sama turut disuarakan seorang lagi pemilik restoran, Che Zarin Omar Daud.

“Sekarang ni ramai dah tutup, hampir separuh dah tutup, dan yang ada ni bertahan dalam keadaan rugi.

“Dengan bil tertunggak, sewa tertunggak … kita bertahan dengan gaji staf tertunggak.

“Kita ada had untuk bertahan kalau kerajaan tak bantu,” kata Che Zarin.

Bagi Farah Sharina Zamari, dia berasa sedih kerana keadaan semasa tidak membolehkan dia mengambil lebih ramai pekerja.

“Kita rasa makin teruk untuk kita tanggung sewa, bil api tertunggak dengan gaji staf.

“Saya rasa sedih sebab ramai staf nak kerja, tapi kita tak mampu bayar gaji. Saya ambil sehari tiga orang saja,” kata Farah Sharina.

Menurut mereka, sekiranya keadaan tidak berubah, lebih ramai pengusaha restoran, kafe dan kedai makan bakal gulung tikar manakala pekerja kedai makan terpaksa diberhentikan.

Mereka antara lain memohon agar dibenarkan pelanggan makan di premis dengan jumlah yang dihadkan, serta kebenaran beroperasi hingga jam 12 tengah malam.

Berita Penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pkp-20-kurang-pelanggan-3000-pengusaha-restoran-di-kelantan-bakal-gulung-tikar-281201

COMMENTS