Individu dakwa Kena bayar RM100,000 untuk naik pangkat dalam Polis

Individu dakwa Kena bayar RM100,000 untuk naik pangkat dalam Polis

Seorang wanita mendakwa seorang pegawai polis meminjam RM100,000 daripadanya untuk membeli pangkat superintendan.

Dalam laporan polis yang dibuatnya, wanita itu mendakwa timbalan superintendan (DSP) terbabit dan rakannya secara berasingan mengugut akan membunuh beliau dan keluarganya kerana meminta wang itu dipulangkan.

Beliau mendakwa DSP terbabit, yang juga rakannya, bersetuju membayar balik wang itu, jika perjanjian membeli pangkat tidak berjaya.

Pegawai terbabit berkhidmat di Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti di Negeri Sembilan.

Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dijangka menyiasat dakwaan pembelian pangkat itu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Vijaya Rao Samachulu berkata, keterangan pegawai itu dan rakannya sudah diambil dalam siasatan kes ugutan jenayah.

Beliau mengesahkan ugutan maut itu didakwa dibuat 7 Okt lalu di sebuah restoran di Taman Berkeley.

Pengadu yang juga jurubahasa mahkamah berusia 36 tahun, mendakwa perkara itu berlaku ketika beliau menemui dua lelaki itu untuk membincangkan pembayaran balik wang RM100,000.

Wanita itu memberitahu polis, pertengkaran menyusul dan rakan DSP itu menamparnya di pipi.

Katanya, beliau meminjamkan wang kepada DSP itu pada 1 Sept lalu, selepas diberikan jaminan ia akan dipulangkan jika tidak mendapat pangkat superintendan.

DSP itu dakwanya, menyerahkan wang berkenaan kepada seorang lagi lelaki untuk dibayar kepada seorang pegawai kanan polis bagi mendapatkan pangkat terbabit.

Menurutnya, RM100,000 itu adalah sebahagian daripada RM300,000 yang diterima daripada bekas suaminya sebagai penyelesaian perceraian mereka .

sumber : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/10/12/rm100000-untuk-beli-pangkat-superintendan-polis/

COMMENTS