Idris tidak mahu gelojoh, minta lebih masa untuk teliti laksana RUU 355

Idris tidak mahu gelojoh, minta lebih masa untuk teliti laksana RUU 355

Kerajaan masih dalam peringkat melihat dari pelbagai aspek, khususnya perlembagaan, undang-undang dan hukum syarak supaya Rang Undang-Undang (RUU) 355 lebih komprehensif dan dapat memperkasa bidang kuasa jenayah mahkamah Syariah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, sepanjang 2020 dan 2021, kerajaan melalui Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil, JAKIM yang telah mengadakan beberapa siri mesyuarat bagi membincangkan RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2021 (RUU 355).

Kata beliau, mengenai RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Doktrin atau Kepercayaan Agama dalam Kalangan Orang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2021, Jawatankuasa Teknikal turut mengadakan beberapa siri mesyuarat sepanjang tahun lalu dan 2021 bagi membincangkannya.

“Selain itu, Jawatankuasa Teknikal turut menubuhkan sebuah jawatankuasa kecil khusus bagi meneliti secara lebih mendalam RUU Kawalan tersebut.

“Seterusnya mencadangkan penambahbaikan terhadap RUU berkenaan bagi memastikan ia selaras dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sesi Pemberitahuan Pertanyaan Lisan di Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (Pas-Pasir Mas) berhubung status RUU 355 dan RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam yang sudah sedia dibawa ke rundingan bersama negeri-negeri pada tahun lepas.

Menurut Idris, selepas RUU 355 dan RUU Kawalan dimuktamadkan kelak, kedua-duanya akan dibentangkan kepada negeri dalam Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak dan Sivil yang dijadualkan pada 12 hingga 14 Oktober ini. – MalaysiaGazette

Sumber : https://malaysiagazette.com/2021/10/06/ruu355-masih-dalam-penelitian-idris/

COMMENTS